KUALA LUMPUR : “Alhamdulillah akhirnya apa yang diperkatakan sebelum ini, persoalan bertahun-tahun yang diajukan kepada saya sudah ada jawapannya. Doakan yang terbaik dan semuanya berjalan lancar,” kata penyanyi terkenal, Norzila Haji Aminuddin atau Ella yang mengesahkan tarikh pernikahannya dengan jejaka pilihan, Azhar Ghazali.
Tambahnya, majlis pernikahan secara tertutup itu akan diadakan pada 7 Julai depan di kediaman keluarganya di Klang, Selangor.
“Majlis pernikahan ini sederhana saja, hanya teman dan keluarga terdekat kedua belah pihak saja diundang. Bukan merahsiakan atau tidak menjemput ramai orang, namun saya perlu menghormati permintaan banyak pihak terutama keluarga kami yang inginkan kesederhanaan untuk majlis pernikahan ini.
“Insya-Allah majlis resepsi nanti pada 1 Disember depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, saya akan jemput lebih ramai orang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam. Ella bersama Azhar yang juga seorang juruterbang syarikat penerbangan Firefly yang berusia awal 30-an mula mengenali antara satu lain sejak sembilan tahun lalu, namun hubungan itu menjadi lebih serius tiga tahun kebelakangan ini.
Menyifatkan Azhar seorang yang sangat memahami dan menerima dirinya seadanya, Ella yang juga penyanyi rock terkenal berusia 46 tahun kelahiran Gelugor, Pulau Pinang yakin jodohnya sudah tiba.
“Saya mengenalinya lebih kurang sembilan tahun lalu namun kami sering berjauhan atas tugas dan tanggungjawab masing-masing. Maklumlah kebetulan ketika itu saya begitu sibuk dengan kerja membuatkan kami hanya berhubungan dari jauh saja. Hinggalah akhir-akhir ini kami mengambil keputusan untuk serius dan melangkah ke peringkat lebih baik.
“Lantas pihaknya datang merisik pada 17 Jun yang lalu bertemu keluarga saya di Klang. “Sikapnya yang matang dan sentiasa positif membuatkan saya selesa dan cepat serasi dengannya. Malah, Azhar seorang yang pandai mengambil hati keluarga saya dan menghormati orang. Dia menerima segala kekurangan dan kelebihan saya selain ikhlas dan jujur sepanjang kami berkenalan,” katanya.
credit to kaki bising
Comments
Post a Comment
^ Leave your comment here =) ^